Friday 23 May 2014

Meminta dan Memberi Maaf !


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

TAZKIRAH (Rabu, 30 Jdl. Akhir 1435H)
Meminta dan Memberi Maaf !

Memaafkan kesalahan orang dan meminta maaf adalah satu perkara yang hebat dan sukar ! Bukan senang untuk memaafkan orang yang telah melakukan kesalahan dan menyakiti hati kita seterusnya melupakan perbuatan mereka begitu sahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku.

PENCERAHAN :
Mengapa lebih senang memaafkan musuh pula, dari  memaafkan seorang kawan? Hati manusia itu lumrahnya lembut dan mudah terasa. Kita tidak kenal musuh, jika mereka melakukan kesalahan kita terus boleh memaafkan. Tetapi apabila seorang kawan yang kita telah kenali hati budinya, melakukan kesalahan pastinya kita merasa terluka yang sangat dalam.

Jika Allah SWT sedia mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang telah berdosa yang menyedari kesilapan mereka, tanpa mengira kecil atau besar kesilapan mereka, kenapakah pula kita hamba biasa yang hina ini tidak boleh membuka hati memaafkan kesilapan orang lain?

Sebaliknya, apa yang banyak kita lihat pada hari ini ialah, terdapat mereka yang mengkritik, mencerca, menghina, malah menghukum mereka yang melakukan sesuatu kesalahan, seolah-olah dia atau keluarganya sendiri tidak pernah melakukan kesalahan itu. Seolah-olah dia manusia yang tiada dosa sama sekali. Inilah sikap dua kali lima yang kita anuti tanpa disedari.

Kita menjegil mata pada orang yang memotong barisan kenderaan dalam jem yang panjang, tetapi kita minta tolong sahabat kita yang bekerja di Pejabat Pos untuk mendahulukan urusan kita. Kita memarahi anak yang tidak sudah-sudah hendakkan mainan baru sedangkan kita juga tidak habis-habis menghias kereta hingga kosnya menelan beribu ringgit. Kita meleteri isteri yang membuang masa dengan bergosip bersama jiran, padahal kita menghabiskan berjam-jam lepak di warung kopi. Sikap dua kali lima ini terjadi apabila kita asyik mencari kesalahan orang tetapi tidak ingat akan kesilapan diri sendiri. 

Seterusnya, apabila kita berbuat salah dengan seseorang, biasanya kita akan dirundung perasaan bersalah. Setelah meminta maaf, tingkah laku kita apabila berhadapan dengan orang yang pernah kita buat salah itu akan tidak sama seperti sebelumnya. Sebolehnya, kita akan mengelak untuk bertemu semula dengannya.

Tetapi dengan Allah, manusia tidak akan sesekali dapat berbuat demikian. Mungkin jasad kelihatan akan mengelak dari berurusan dengan Allah. Tidak solat, tidak menghadiri majlis ilmu, mengelak bertembung dengan orang alim. Tetapi hakikatnya, hati yang diciptakan secara fitrah itu akan merasakan sesuatu perasaan bersalah yang amat mencengkam jiwa.

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

"Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan." (QS. An-Naml : 14)

Sekiranya manusia terus berbuat demikian, adakah Allah akan rugi? Akan terjejas kemuliaan dan keagungan Allah? Contoh, sekiranya kita tidak solat adakah akan mengurangkan kekuasaan Allah SWT? Tidak sama sekali, sebaliknya manusialah yang akan rugi dan yang akan terjejas dalam kehidupannya di akhirat nanti.

Allah SWT telah berfirman ;
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (QS. Fathir : 15)

KESIMPULAN :
Pada saat seseorang melakukan perkara yang salah, kata hatinya akan menyalahkan dia, menuduh dan menghukum diri dengan perasaan rasa bersalah. Tetapi kerana keegoan yang meninggi dalam diri, maka perasaan bersalah itu diketepikan dan dibiarkan berlalu. Memberi dan meminta maaflah... Biar berjiwa besar bukan besar kepala !
Wallahu a'lam - Cuit-cuit Ust Kay

Sumber : Group Whatsapp

6 comments:

  1. Maafkan kami maafkan kami haha teringat lagu P.Ramlee

    ReplyDelete
  2. @Amir Khalis Hahaha awesome. Taknak buat cover ke? Haha

    ReplyDelete
  3. Memang sukar nak maafkan Orang kite sayang especially kalau dah buat kesalahan yang sama banyak kali.

    http://drshikinzainal.blogspot.com/2014/05/setulus-kasih-ibu-contest.html

    ReplyDelete
  4. Mintak maaf kat awk salah dan silap :P

    ReplyDelete
  5. @Nurashikin ZA a.k.a NAZECK Yup betul tu. Tapi kite kene cube untuk sentiasa memaafkan supaya kita jugak sentiasa dimaafkan :D

    ReplyDelete
  6. @Auni Sofea Haha sudah lama memafkan awak tanpa sebab :D Mintak maaf jugak :P

    ReplyDelete

 
 photo cats_zpscdjdlx5h.jpg